Friday, March 18, 2011

Harga ayam melambung pengguna rasa terbeban


Gempa bumi dan tsunami di Jepun menjadi alasan peniaga naikkan harga ayam sehingga RM8.50 sekilo. - Foto: RD
KUALA LUMPUR: Orang ramai hari ini mengeluh apabila harga ayam yang biasanya sekitar RM7 dan RM7.50 beberapa minggu lalu kini melambung RM1 sekilogram, yang dipercayai tindakan pembekal menaikkan harga dengan alasan berlaku gempa bumi dan tsunami di Jepun.

Rakyat Daily yang meninjau jualan ayam di beberapa pasar seperti di Pasar Sungai Besi, Pasar Keramat dan sekitar Ampang mendapati harga ayam dijual antara RM8 hingga RM8.50 sekilogram menyebabkan ramai pengguna mengeluh.

Mereka  kecewa kerana alasan gempa bumi dan tsunami di negeri matahari terbit dijadikan alasan oleh peruncit untuk menaikkan harga ayam di pasaran tempatan kerana ia jelas tidak masuk akal memandangkan Jepun bukan pembekal makanan ayam ke negara ini.

"Tak lojik langsung nak kaitkan harga ayam dengan kejadian gempa bumi dan tsunami di Jepun. Tak tahu pulak saya kalau bekalan makanan ayam datang dari negara itu. Saya percaya ia hanya alasan pembekal untuk menaikkan harga ayam sewenang-wenangnya.

"Tambahan pula sekarang ini ayam bukan lagi barang kawalan oleh kerajaan. Jadi pembekal, pemborong dan peruncit boleh menaikkan harga sesedap mereka," kata seorang pengguna yang enggan dikenali..

Seorang penjual ayam di sebuah pasar sekitar Ampang mendakwa dia tidak tahu menahu mengapa harga ayam melambung sejak akhir-akhir ini sedangkan sekarang ini bukan musim perayaan.

"Tak tahulah pula kenapa harga ayam naik. Sebelum ini RM7.50 pun dah mahal hari ini kita RM8.50. Kami tak boleh nak elak sebab itulah harga yang kami terima daripada pembekal," katanya.

Ekoran peningkatan harga ayam yang tidak masuk akal itu, ramai kalangan pengguna tidak membeli ayam sebaliknya memilih daging lembu atau ikan.

Malah harga tersebut jauh lebih tinggi berbanding senarai harga yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di sini. - RD

Penyokong Red Giant mengeluh FAS naikkan harga tiket

Benarkah Stadium Shah Alam makin lengang sejak FAS naikkan harga tiket perlawanan Liga Super?
SHAH ALAM: Para penyokong dan peminat pasukan bola sepak Merah Kuning mengeluh apabila Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) membuat keputusan menaikkan harga tiket perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam daripada RM10 kepada RM15, mulai musim ini.

Blogger Keris Putra dalam entri terbarunya berkata, langkah FAS menaikkan harga tiket tersebut bagi menampung kos penajaan oleh Menteri Besar Incorported (MBI), syarikat kerajaan negeri di bawah Menteri Besar yang berjumlah RM4 juta setahun.

"Apa alasan FAS sampai tiket naik RM5? Bayangkan tahun lepas tiket RM10 stadium tak penuh dan susah nak dapat 2,000 penyokong dan musim ini FAS naikkan RM5. Strategi apa yang diguna pakai FAS ni

"Jangan cekik darah sangat. Malaysia baru menang rantau Asia Tenggara (Piala AFF Suzuki) bukan menang World Cup. Bayangkan kalau Malaysia menang World Cup berapa harga tiket?" keluhnya

Rakyat Daily difahamkan pengumuman kenaikan harga tiket perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam itu dibuat awal tahun ini ketika juara Liga Super musim lalu itu menerima penajaan daripada MBI dan Kappa.

Bagaimanapun sambutan penyokong terhadap pasukan itu di Shah Alam tetap baik walaupun harga tiket dinaikkan dan Selangor kehilangan penyerang sensasi, Safee Sali yang berpindah dan bermain untuk pasukan Pelita Jaya di Indonesia. - RD

Wednesday, March 16, 2011

Antara basikal, Jalur Gemilang dan kempen keinsafan

Basikal yang bersemangat nasionalisme...
SEMANGAT NASIONALISME.... Basikal ini diletakkan di bahu jalan di simpang Jalan Pandan Mewah-Pandan Indah, Ampang, Selangor. Sekali pandang tiada apa yang menarik melainkan sebuah basikal buruk. Tetapi diletakkan bersama Jalur Gemilang menyerlahkan bahawa si pemilik basikal itu mempunyai semangat nasionalisme yang tinggi biarpun 31 Ogos masih jauh lagi. - Foto: RD

Kempen yang menginsafkan!
INSAF... Kalau tak insaf lagi tak tahulah. Ini antara poster kempen kesedaran yang unik yang ditemui di sekitar Jalan Kuari, Cheras. Kempen seperti ini sekurang-kurangnya mengingatkan umat Islam khususnya anak muda agar menjauhi perkara mungkar. Tahniah kepada si penganjur! - Foto: RD

Tuesday, March 15, 2011

Radiasi nuklear Jepun: Jangan percaya khabar angin

Loji janakuasa nuklear Fukushima Dai-ichi yang bocor selepas gempa bumi kuat di pantai timur Jepun baru-baru ini.
PUTRAJAYA: Rakyat diminta jangan mempercayai khabar angin yang disebarkan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) konon udara di negara ini bakal tercemar dengan radiasi daripada loji nuklear di Jepun yang kini bocor akibat gempa bumi kuat dan tsunami, Jumaat lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau percaya penyebaran SMS itu dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab yang cuba menakut-nakutkan rakyat negara ini dengan berita palsu sedemikian.

Beliau memberi jaminan bahawa Malaysia selamat daripada sebarang ancaman dari loji janakuasa nuklear itu kerana kedudukan negara ini yang jauh dari negara matahari terbit itu dan pada masa yang sama kerajaan Jepun sedang berusaha mengatasi masalah tersebut.

Pada masa agensi berkaitan di negara ini juga memantau perkembangan yang berlaku di Jepun dan rakyat di negara ini tidak perlu bimbang atau panik serta mudah terpedaya dengan berita-berita palsu sedemikian.

Rakyat Daily difahamkan beberapa loji nuklear Jepun di kawasan timur negara ini rosak teruk dan ada yang meletup menyebabkan para penduduk Tokyo mula panik dan keluar dari ibu negara itu.

Kedudukan Tokyo kira-kira 250 kilometer dari lokasi kejadian.

Sehingga kini belum ada tanda-tanda bahawa kerajaan Malaysia akan membawa pulang pelajar dan rakyat negara ini dari Jepun ekoran bencana tersebut. - RD

Juara All England mula terima habuan

Lee Chong Wei menerima habuan RM100,000 daripada Perdana Menteri dan isteri selepas muncul juara All England tahun kedua berturut-turut. 
KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mula menerima habuan selepas berjaya mempertahankan kejuaraan All England apabila menerima RM100,000 dalam bentuk saham amanah daripada kerajaan Malaysia.

Habuan itu disampaikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak di kediamannya di Seri Perdana, Putrajaya, sejurus Chong Wei tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari London, pagi ini.

Chong Wei juga menerima hadiah istimewa daripada isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berupa seutas jam tangan.

Bernama melaporkan, Chong Wei ada menghubungi Rosmah sebelum memulakan pertandingan menentang Lin Dan, iaitu satu tabiat pemain nombor satu dunia itu setuap kali sebelum bertanding bagi mendapatkan kata semangat dari Wanita Pertama itu.

"Pada malam itu, isteri saya telah memberi semangat kepada beliau dan berjanji akan memberi hadiah istimewa sekiranya menang, dan saya juga dapat bercakap dengan Lee Chong Wei turut berjanji akan memberi hadiah sekiranya beliau menang.

"Pada ketika itu, dia (Chong Wei) tidak menganggap Lin Dan sebagai penentang yang tidak boleh diatasi. Chong Wei juga telah menunjukkan pemainan yang begitu hebat sekali dan tidak pernah rasa tertekan tetapi sentiasa mengatur permainannya berdasarkan kepada pelan permainan.

"Pada saya, bila dia mempunyai keyakinan dan komited kepada pelan permainannya, pada masa itu dia boleh mengatasi pencabarnya yang menjadi penghalang besar kepadanya untuk mencapai kejayaan,” kata Najib.

Rakyat Daily berharap habuan serupa diberikan kepada mana-mana atlet sukan yang berjaya mengharumkan nama negara di persada dunia seperti pelumba basikal trek negara Azizul Hasni Awang, Pandalela Renong (renang) dan lain-lain.

Pemberian habuan serupa jangan hanya diberikan kepada atlet-atlet sukan yang digemari oleh Perdana Menteri dan isterinya sahaja iaitu badminton dan bola sepak.

Monday, March 14, 2011

Botol susu polikarbonat bisphenol diharamkan

Penggunaan botol susu polikarbonat mengandungi BPA akan diharamkan mulai 1 Mac 2012. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan untuk mengharamkan penjualan botol susu bayi polikarbonat yang mengandungi bisphenol A (BPA) berkuat kuasa 1 Mac tahun depan kerana ia boleh memberikan kesan negatif terutama kepada bayi dan kanak-kanak.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, perkara tersebut diputuskan pada mesyuarat jemaah menteri 2 Mac lalu sebagai langkah berjaga-jaga selepas tiada bukti saintifik yang kukuh ditunjukkan bahawa botol tersebut selamat digunakan.

Kata beliau, polikarbonat digunakan dalam pembuatan botol susu bayi manakala BPA pula adalah bahan kimia industri yang digunakan untuk menjadikan botol susu tersebut menjadi keras dan lutsinar.

"Kerajaan memberi tempoh satu tahun untuk memastikan tindakan pengharaman itu dilaksanakan dengan lancar secara berperingkat. Pihak industri diberi tempoh masa satu tahun untuk membuat persediaan bagi keperluan pertukaran atau pembelian mesin dan penggunaan bahan mentah yang sesuai," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca kabinet kementeriannya di sini hari ini.

Tiong Lai berkata, tindakan itu mengambil kira bahawa BPA boleh menyebabkan gangguan kepada sistem hormon sekali gus mengganggu sistem fungsi tubuh tetapi sehingga kini tiada sebarang penilaian dijalankan berhubung sistem hormon dalam tubuh bayi.

Kata beliau, pengharaman itu juga adalah selaras dengan tindakan beberapa negara yang telah pun mengharamkan penjualan botol susu sedemikian  antaranya di Jerman, Perancis, Denmark, Kanada, Australia, New Zealand, Amerika Syarikat dan terbaru oleh Kesatuan Eropah. - RD/Bernama

Hampir 10,000 gadis bawah umur jadi mangsa rogol

Gadis bawah umur paling ramai menjadi mangsa rogol berbanding mereka yang lebih dewasa. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 9,575 kes rogol di bawah umur direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tempoh lima tahun sejak 2005, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata statistik yang direkodkan PDRM itu menunjukkan jumlah kes yang melibatkan mangsa bawah umur adalah lebih tinggi bagi tempoh 2000 hingga 2010 berbanding kes yang melibatkan mangsa bukan bawah umur.

"Bagaimanapun, polis tidak mempunyai rekod mengenai jumlah kes rogol di bawah umur bagi tempoh 2000 hingga 2004,” katanya menjawab soalan Tan Sri Dr Fong Chan Onn (BN-Alor Gajah) di sini hari ini.

Dr Chan Onn ingin tahu jumlah kes rogol di bawah umur yang berlaku sejak tahun 2000 dan tindakan yang diambil kementerian bagi menangani gejala itu.

Abu Seman Yusop berkata, kementerian sentiasa memandang serius dan komited dalam membendung jenayah rogol lebih-lebih lagi bagi kes yang melibatkan golongan di bawah umur.

Katanya, antara langkah yang diambil PDRM ialah memberi perkhidmatan kaunseling kepada mangsa dan akan merujuk mangsa kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat jika memerlukan perlindungan.

"Selain itu, polis akan meneruskan siasatan untuk mendapatkan bukti terhadap suspek dan bagi kes yang dituduh di mahkamah dan jika suspek disabitkan kesalahan, pihak peguam negara akan memohon kepada mahkamah supaya hukuman lebih berat dikenakan,” katanya. -  Bernama

Puduraya, TBS-BTS canggih Hentian Putra menyedihkan

Keadaan terminal bas Hentian Putra yang sesak dengan penumpang, ditambah dengan sistem pendingin hawa tidak berfungsi menyebabkan para penumpang yang menggunakan terminal ini merasakan amat tidak selesa. - Foto: RD
KUALA LUMPUR: Terminal bas Hentian Putra iaitu stesen bas destinasi ke Pantai Timur di sini didapati berada dalam keadaan menyedihkan apabila ia semakin tidak terurus, menyesakkan dan amat tidak selesa kepada para pengguna terutama penumpang.

Tinjauan Rakyat Daily mendapati keadaan di dalam terminal bas itu panas kerana sistem pendingin hawa tidak berfungsi ditambah dengan jumlah penumpang yang tinggi terutama sebelah malam menyebabkan keadaan amat tidak selesa.

Ketiga-tiga papan maklumat bas dan destinasi elektronik tidak berfungsi menyebabkan ramai penumpang terpinga-pinga mendapatkan bas masing-masing. - Foto: RD
Beberapa penumpang yang ditemui berharap kerajaan melalui Syarikat Pengangkutan Awam Negara (SPAN) mengambil langkah segera memperbaiki kemudahan yang ada di terminal bas tersebut kerana keadaannya amat menyedihkan.

Seorang penumpang, Mohd Nor Hamidi berkata, keadaan di dalam terminal berasak-asak kerana ruang terminal tersebut sempit ditambah kekurangan tempat duduk menyebabkan ramai penumpang terpaksa duduk di luar terminal.

"Sistem pendingin hawa sudah lama tidak berfungsi. Keadaan tambah menyesakkan kalau hujan. Ramai penumpang berasak-asak di dalam terminal ditambah pula asap dari bas apabila bas-bas memasuki terminal yang sempit ini," katanya.

Sementara itu Rakyat Daily juga mendapati papan elektronik yang memaparkan maklumat bas dan destinasi juga sudah tidak berfungsi menyebabkan para penumpang terpinga-pinga mencari bas mereka atau terpaksa mendapatkan maklumat di kauter jualan tiket.

"Entahlah... Dulu okey. Tapi sekarang dah lama tak berfungsi. Kadang-kadang penumpang terlepas bas sebab tak tahu nombor bas mereka. Sampai hari ini belum ada tanda-tanda ia diperbaiki," kata seorang jurujual tiket bas, Sarimah.

Seorang penumpang lain, Norhafiza berkata, dia sedih dengan keadaan terminal bas Hentian Putra seolah-olah dianak-tirikan kerajaan apabila terminal bas Puduraya semakin selesa dan Terminal Bas  Selatan di Bandar Tasik Selatan (TBS-BTS) begitu canggih tetapi Hentian Putra semakin uzur.

Beliau mencadangkan agar UDA Holdings mengambil alih pengurusan Hentian Putra dan dibaik pulih sepertimana Puduraya dan TBS-BTS, yang kedua-duanya diuruskan oleh agensi tersebut. - RD

Wanita, bayi terselamat kereta dirempuh pemandu Arab

Kereta Inokom Atos yang dipandu Siti Aisyah terbalik di sisi jalan selepas dirempuh Proton G2 dipandu seorang pelajar warga Arab di persimpangan Lingkaran Cyber Point Barat, Cyberjaya Khamis lepas. - Foto: RD
CYBERJAYA: Seorang wanita bersama bersama bayi berusia lapan bulan dan ibunya terselamat apabila kereta yang dipandunya terbalik selepas dirempuh oleh sebuah kereta lain di persimpangan Lingkaran Cyber Point Barat di sini, 10 Mac lalu.

Wanita terbabit Siti Aisyah, 20-an yang memandu kereta Inokom  bersama anaknya berusia lapan bulan dan ibunya dikatakan dalam perjalanan pulang ke Damansara apabila melalui persimpangan tersebut sebelum dirempuh oleh sebuah Proton G2 yang dipandu seorang pelajar warga Arab dari sebelah kiri.

Rakyat Daily difahamkan pemandu warga Arab terbabit tidak mempunyai lesen memandu dan memandu dalam pengaruh alkohol.

Keadaan kereta Proton G2 dipandu seorang pelajart warga Arab yang remuk di bahagian depan selepas merempuh kereta dipandu Siti Aisyah. Pemandu terbabit tidak mempunyai lesen memandu. - Foto: RD
Akibat rempuhan tersebut, kereta Siti Aisyah berpusing sebelum terbalik di sebelah kanan jalan. Kejadian berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Rakyat Daily yang tiba di tempat kejadian mendapati ibunya yang duduk di sebelah pemandu, bahagian yang dirempuh mengalami patah tangan manakala Siti Aisyah dan anaknya serta pelajar warga Arab terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Bagaimanapun mereka dibawa ke Hospital Putrajaya untuk pemeriksaan lanjut. - RD

Siti Aisyah mengutip dokumen-dokumen penting yang bertaburan selepas kereta Inokom Atos dipandunya terbalik dirempuh kereta lain. - Foto: RD 

Tumbangkan Lin Dan, Chong Wei pertahan All England

Datuk Lee Chong Wei mempertahankan kejuaraan All England yang dimenangi beliau tahun lalu, selepas menundukkan juara Olimpik, Lin Dan 21-17, 21-17 di Indoor Arena, Birmingham malam ini.
LONDON: Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei mempertahankan kejuaraan perseorangan lelaki pada kejohanan badminton All England apabila berjaya menundukkan seteru utamanya, Lin Dan dari China dengan straight-set 21-17, 21-17 di Indoor Arena Birmingham, dekat sini hari ini.

Ini adalah kemenangan kelapan bagi Chong Wei ke atas juara Olimpik itu daripada 23 pertemuan setakat ini manakala 15 pertemuan lagi berpihak kepada Lin Dan.

"Saya bermain secara selamat hari ini. Saya tidak mahu terburu-buru mengejar mata," kata Chong Wei yang mengakui kekuatan mental menjadi penyebab utama kemenangan beliau kali ini.

Sejurus memenangi kejohanan itu, pemain kelahiran Pulau Pinang itu menerima panggilan dari Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak yang mengucapkan syabas dan tahniah atas kemenangan beliau.

Mengikut sejarah All England, Wong Peng Soon pernah mencipta kemenangan hattrick pada tahun 1950 hingga 1952 manakala Eddy Chong pula menjuarai kejohanan badminton tertua itu pada 1953 dan 1954 sebelum dirampas semula oleh Peng Soon tahun berikutnya.

Eddy Chong sekali lagi mencipta kemenangan dua tahun berturut-turut pada 1956 dan 1957 dan sejak itu tiada lagi pemain perseorangan negara muncul juara All England sehinggalah Muhammad Hafiz Hashim melakar kejutan pada 2003.

Tahun lalu Chong Wei menewaskan pemain Jepun, Kenichi Tago 21-19, 21-19 untuk dinobatkan sebagai juara All England yang baru.

Chong Wei yang kini "kehilangan" sifunya, Datuk Misbun Sidek yang menarik diri daripada melatih pasukan negara baru-baru ini bermain dengan penuh yakin walaupun menyedari Lin Dan bukan lawan yang mudah mengalah.

Beliau bermain dengan penuh keyakinan sehingga satu ketika berjaya meninggalkan Lin Dan 17-10 dan 18-12 pada set pertama sebelum pemain China itu merapatkan kedudukan 17-18 sebelum ditamatkan dengan 21-17.

Pada set kedua Chong Wei lebih berhati-hati dan mengelak daripada melakukan kesilapan mudah tetapi tetap menjadikan pukulan smash pancung sebagai senjata sehinggakan dia berjaya meninggalkan Lin Dan 8-2 sebelum membuat beberapa kesilapan menyebabkan pemain China itu merapatkan kedudukan kepada 17-17.

Bagaimanapun beberapa kesilapan Lin Dan pada set kedua membolehkan pemain pilihan utama kejohanan itu berjaya menamatkan perlawanan dalam tempoh 50 minit dengan kemenangan 21-17, 21-17.

Sementara itu, beregu utama negara Koo Kien Keat/Tan Boon Heong pula gagal merampas mahkota kejuaraan yang dimenangi mereka pada 2007 apabila tunduk kepada beregu nombor satu dunia Mathias Boe/Carsten Mogensen dari Denmark 15-21, 21-18,21-18.

China pula menyapu tiga daripada lima kejuaraan yang ditawarkan apabila perseorang wanitanya Wang Shizxian menundukkan pemain Jepun, Eriko Hiroes 24-22, 21-18 manala beregu wanitanya, Wang Xiaoli/Yu Yang mudah menjinakkan pasangan Jepun, Mizuki Fujii/Reika Kakiiwa 21-2, 21-9.

Satu lagi kejuaraan diperoleh menerusi beregu campuran apabila Xu Chen/Ma Jin menewaskan pasangan Thailand, Sudket Prapakamol/Saralee Thoungthongkam 21-13, 21-9. - RD

Karikatur hina mangsa tsunami Jepun: BH mohon maaf

Karikatur Zoy yang disiarkan dalam Berita Minggu, Ahad 13 Mac yang mendapat kecaman pelbagai pihak kerana dianggap tidak menghormati penderitaan rakyat Jepun yang dilanda bencana gempa dan tsunami.
KUALA LUMPUR: Kumpulan Berita Harian semalam menyatakan permohonan maaf kepada seluruh pembacanya selepas akhbar tersebut Berita Minggu semalam telah menyiarkan karikatur yang mempersenda kejadian bencana alam gempa bumi dan tsunami di Jepun.

Karikatur oleh kartunis Zoy yang disiarkan dalam akhbar edisi Ahad itu memaparkan Ultraman, watak adikuasa paling popular di Jepun lari lintang-pukang bagi mengelak ditelan ombak tsunami.

Beberapa pemimpin politik kerajaan dan pembangkang serta beberapa blog telah mengecam Kumpulan Berita Harian (penerbit Berita Minggu) kerana menyiarkan karikatur tersebut kerana akhbar arus perdana itu seolah-olah mempersendakan penderitaan yang sedang dialami oleh beribu-ribu penduduk di timur laut Honshu.

Pengarah Komunikasi Parti Keadikan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad dalam Twitternya meminta agar mereka yang mengecam penyiaran karikatur itu supaya menandatangani petisyen protes terhadap akhbar tersebut.

Manakala Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar pula berkata, “isu kartun Berita Minggu amat mendukacitakan, langsung tidak mewakili rakyat Malaysia yang bersama merasai keperitan yang dihadapi rakyat Jepun.”

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin pula mengecam Berita Harian kerana menyiarkan karikatur tersebut.

“Lebih malang sekali kartun tsunami itu diterbit di bawah kolum Pengarang Kumpulan (Berita Harian) sendiri,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau dalam Twitternya.

Jumaat lalu, dunia dikejutkan dengan gempa bumi dengan kekuatan 8.9 magnitud di pantai timur Honshu yang menyebabkan berlaku tsunami setinggi 10 meter dan menenggelamkan bahagian pantai timur kepulauan itu.

Kejadian tersebut menyebabkan beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Filipina, Taiwan, Indonesia serta Malaysia mengeluarkan amaran tsunami.

Sehingga kini lebih 1,600 orang telah terkorban manakala lebih 10,000 lagi dikhuatari turut menjadi mangsa gempa bumi dan tsunami paling buruk dalam tempoh 140 tahun negara itu. - RD